“ Rep...enta boleh bayang tak? Ana dah beli semua barangan untuk pertunangan kecuali cincin tunang sahaja. Ana cadang hendak masuk meminang dia pertengahan tahun ini. Tapi, tahu-tahu saja dia putuskan hubungan kami..Enta boleh gambarkan perasaan ana sekarang ini? ” ada getar dalam nada suara Fauzi (bukan nama sebenar).
Saya kelu...sungguh saya tidak sangka inilah rupanya permasalahan yang membelenggu anak usrah saya 3-4 minggu kebelakangan ini. Saya membatukan diri...menunggu permasalahan itu diluah secukup rasa.
“ Family ana dan dia dah pun bertemu...masing-masing dah berkenalan antara satu sama lain. Jujurnya...ana sangat mengharap perhubungan ini berjaya. Tapi...” Fauzi tidak dapat meneruskan lagi kata-katanya. Air mata sudah pun mengalir dipipinya.
Kaget..saya sedikit buntu bagaimana mahu membantu dia untuk tidak bersedihan lagi. Tatkala itu otak saya memutar ligat memikirkan kalimah terbaik yang perlu disusun bagi memujuk jiwa yang duka itu. Saya hanya mampu mengusap-usap bahagian belakangnya. Lalu, saya mula membuka bicara...
“ Sabar ji..kita sama-sama tahukan setiap ujian yang Allah s.w.t timpakan kepada kita...”
“ pasti ada hikmahnya.” tidak sempat saya menghabiskan ayat tersebut, Fauzi sendiri yang melunaskan bait-bait terakhirnya.
“Ana tahu...ana tahu segala yang Allah s.w.t timpakan pada hambaNYA adalah untuk meningkatkan lagi darjatnya. Tapi rep...berbicara itu mudah apabila keadaannya senang, tetapi beramal dengannya sangat payah apabila menelan sakitnya.”
Saya tersenyum..inilah Fauzi yang saya kenal. Petah bicaranya itu kadangkala boleh membisukan pihak yang ingin menasihati. Dia adalah di antara anak usrah saya yang paling menyerlah sekali. Seringkali juga, usrah kami itu seakan-akan medan berbahas akibat kelantangan hujah-hujahnya dalam membincangkan isu semasa.
Sekali lagi, otak saya diperah memikirkan bentuk nasihat yang berkesan untuk dilemparkan ke dalam kotak pemikiran orang yang sudah ‘tinggi’ darjatnya ini.
“Siapalah ana untuk menghalang keputusan yang dia buat...ana hormati keputusannya. Cuma yang bermasalah adalah diri ana. Nak melupakan seseorang yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita bukan mudah!” ketika ini sendu tangisnya semakin perlahan. Saya pula? Menggangguk dan terus memerah..
“ Ji..kalau yang dicari seorang lelaki itu JODOH. Makanya, kesedihan itu tidaklah terlalu berpanjangan walaupun dikecewakan puluhan orang...Tapi, kalau yang dikejarnya itu CINTA, sedihnya mungkin membawa kepada bunuh diri tahu?” sekadar sebuah persoalan yang dicampak bagi menggugurkan segala keserabutan yang ada.
Fauzi melemparkan pandangan kosong ke arah tumbuhan hijau yang melata di hadapan mata. Barangkali sedang memproses ayat-ayat tadi supaya ianya mudah meresap ke hati. Saya menyambung...
“Dalam keserabutan...mohon NUSRAH Allah s.w.t, dahla tu..ana lapar dah ni...breakfast kat Pok Pim jom? Kita sambung cerita kat sana pulak” Saya sendiri tersenyum kerana mengenangkan kepada siapa nasihat tersebut pernah diberi.
(Maaf, saya tidak dapat meneruskan kisah ini sehingga pengakhirannya kerana telah diamanahkan oleh Fauzi untuk menghadkannya. Cukuplah sekadar yang diperlukan untuk mengambil ‘point’ yang ada)
Hakikat Ubudiyyah di bawah takdir JODOH
Berada di sesi pengajian semester 5 ini sedikit sebanyak telah banyak membuka minda saya mengenai erti percintaan, pernikahan dan tanggungjawab. Topik ini seringkali menjadi tajuk utama perbualan kami rakan sekelas/seusrah. Jika dahulu ‘awek’, tapi kini ‘calon isteri’, jika dahulu ‘couple’, tapi kini ‘nikah’...kematangan topik ini seiring dengan kematangan usia. Prosesnya? Terpulang kepada individu...ada yang masih mengumpul duit (ini ramai..=), ada yang sudah bertunang, ada juga yang dah nak bernikah dah pun =P (Amin..jgn terasa ye?hehe). Apa pun peringkatnya, saya menyeru agar dipelihara lingkungan syara’ sebagai perbatasan perhubungan itu kerana cita-cita melahirkan sebuah pokok keluarga Soleh bermula dari akar pencarian pasangan yang seiring dengan Syara’.
Namun, tidak semua proses itu berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kecundang ataupun gagal bukanlah istilah yang tepat untuk menterjemahkannya. Setiap perkara itu mempunyai sisi pandang positif bagi menjadikan diri kita semakin dekat kepada Allah s.w.t. Salah satu contohnya adalah seperti yang diceritakan diatas. Gerak kerja saudara Fauzi agak lemau 2-3 minggu kebelakangan ini dan saya menyedarinya. Alhamdulillah, risikan demi risikan, saya dibukakan olehNYA untuk mengetahui kisah sebenar disebalik kekenduran itu.
Allah s.w.t telah memberikan TIGA ketetapan untuk setiap Muslim mengenai prihal jodohnya. Pertama, dipermudahkan dan dipercepatkan olehNYA bagi mendapatkan pasangan hidup. Kedua, susah dan diperlambatkan olehNYA (tetapi masih dikurniakan), atas sebab-sebab hanya yang Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya. Ketiga, ditunda soal jodohnya hingga ke Akhirat kelak (ertinya di atas dunia tidak dipertemukan kepadanya mana-mana pasangan hidup).
Saya pasti konsep ini mudah dihadam oleh mana-mana pejuang agama Allah s.w.t. Cuma adakalanya kita terlupa konsep asas ini sehinggakan kita terasa berputus asa pada takdir Allah s.w.t ini, hanya kerana sulitnya untuk menjayakan sebuah pernikahan. Kita berkahwin dengan pasangan yang telah diJODOHkan oleh Allah s.w.t kepada kita, bukan dengan pasangan yang TELAH kita CINTAI. Jika keadaannya kita telah terlanjur mendahulukan CINTA pada seseorang maka bermuhasabahlah, kerana tiada CINTA SEBELUM PERKAHWINAN. Hanya yang wujud adalah sebuah persefahaman dan perkenalan, itu pun apabila menempuh proses pertunangan.
Terkadang perasaan itu berkeseinambungan hingga tumbuhnya rasa KASIH SAYANG, dan disinilah wujudnya HARAPAN. Tidak mengapa...kerana ia adalah lumrah dalam perkembangan kepada sebuah perhubungan, cuma amat ditekankan disini agar ia sentiasa ditekan dan dikongkong serta jangan sekali-kali perasaan itu dibiarkan bebas menghalalkan suasana yang HARAM. Perlulah ianya segara diikat dengan sebuah ikatan pernikahan. Jangan diletakkan perasaan itu secara total dan penuh kepada pasangan, kelak ianya akan membawa kesengsaraan pada sang pencinta, MENGAPA? Kerana CINTA dan HARAPAN itu selayaknya hanya di letak kepada Allah s.w.t.
Bersedihlah…kerana Rasulullah s.a.w juga bersedih. Tetapi sedihnya baginda sentiasa ada Allah s.w.t sebagai tempat aduan. Hatta, Rasulullah s.a.w, yang kita sama-sama akui Qudwah terbaik dalam medan perjuangan dakwah Islamiyyah itu pun, sujud mengadu pada Allah s.w.t tatkala dihurung duka dan nestapa. Inikan pulan kita manusia biasa? Yang sentiasa tercalit dengan dosa dan noda…layakkah kita berputus asa padaNYA? Sentiasa sabar dan redha dalam menempuh proses lumrah bagi setiap insan ini. Pastikan jiwa Ubudiyyah itu sentiasa segar agar tidak mudah mengalah dan berputus asa.
Artikel ini sekadar memudahkan pemahaman dan menjelaskan lagi misi sebenar pencarian JODOH dalam Islam. Ambillah iktibar sebagaimana tabahnya seorang pemuda bernama Khairul Azam dalam filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ mencari jodoh bagi dirinya. Sentiasa ada yang tidak kena, tapi jiwa pemuda itu sentiasa tegar dan tidak berputus asa mencari keredhaan Allah s.w.t melalui jalan penikahan. Konsepnya mudah…berCINTA itu tidak semestinya berakhir dengan diJODOHkan, namun JODOH itu pasti bersamanya sebuah rasa CINTA. Insya Allah. Wallahua’alam.
Surah Ar Rum ayat 21 : “Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir
p/s:Dari waznulhaq.blogspot.com.....sekadar renungan kita bersama...
Catat Ulasan